Tempatan

KDN, JPN jamin proses MyPR dan kewarganegaraan ikut undang-undang

theSun
26 Jan 2026, 08:10 am
302 views
KDN, JPN jamin proses MyPR dan kewarganegaraan ikut undang-undang
Share:

KDN dan JPN pastikan proses MyPR dan kewarganegaraan dilaksanakan secara ketat, telus dan berlandaskan perlembagaan susulan kebimbangan Sultan Pahang

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi jaminan proses pemberian Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) dan kewarganegaraan dilaksanakan secara ketat, telus dan berpandukan undang-undang.

JPN dalam kenyataan memaklumkan mereka mengambil berat kebimbangan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung kedaulatan negara, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

MyPR hanya dikeluarkan kepada individu bukan warganegara yang telah memperoleh status pemastautin tetap melalui Permit Masuk sah daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Setakat 31 Dis 2025, sebanyak 261,156 pemegang MyPR direkodkan di seluruh negara,” menurut JPN.

Kawalan utama bagi permohonan MyPR adalah Permit Masuk sah daripada JIM, dengan kelulusan tertakluk kepada kriteria dan penilaian jabatan berkenaan.

Semakan silang bersepadu antara JPN dengan JIM dilaksanakan bagi mengesahkan ketulenan Permit Masuk dan kelayakan pemohon.

Setiap permohonan turut diperhalus oleh Panel Jawatankuasa Pertimbangan Kelulusan yang bersidang secara berkala bagi memastikan integriti proses.

“Status MyPR boleh ditarik balik sekiranya pemegangnya didapati terlibat dalam sebarang kesalahan yang boleh mengancam keselamatan atau kepentingan negara,” menurut JPN.

Mengenai kewarganegaraan, JPN menegaskan ia adalah anugerah tertinggi dan hak eksklusif kerajaan Persekutuan yang tidak diberikan sewenang-wenangnya.

Setiap permohonan diproses berdasarkan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan serta Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964.

Pertimbangan mengambil kira kepentingan nasional, keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada.

KDN dan JPN memberi jaminan semua permohonan akan diproses secara teratur, telus dan mengikut giliran yang sewajarnya sebelum keputusan dibuat.

“Pertimbangan teliti perlu dilaksanakan bagi memastikan taraf kewarganegaraan diberikan kepada individu yang benar-benar layak,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menegaskan komitmen berterusan KDN dan JPN untuk melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab dan integriti selaras titah nasihat Sultan Pahang.

Semalam, media melaporkan Al-Sultan Abdullah menzahirkan kebimbangan berkaitan isu pemberian taraf penduduk tetap dan kewarganegaraan.

Baginda bertitah perkara itu menyentuh soal amanah, integriti, keadilan dan maruah sebuah bangsa berdaulat.

Related Articles