Kursus pemandu pelancong kini diiktiraf dalam ekosistem TVET dengan pensijilan SKM, meningkatkan profesionalisme dan kebolehpasaran kerjaya.
KUALA LUMPUR: Kerjaya pemandu pelancong telah diarusperdanakan sebagai sebahagian daripada ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man berkata pemandu pelancong mesti mengikuti kursus dan lulus ujian kecekapan di institusi latihan pelancongan (ILP) yang diiktiraf sebelum dilesenkan.
“Sebagai syarat pembaharuan lesen, pemandu perlu mengikuti kursus Continuing Tourism Related Education atau program upskilling dan reskilling,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai pengiktirafan program kursus pemandu pelancong dalam ekosistem TVET.
Chiew berkata MOTAC bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk mengiktiraf kursus melalui pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan Tahap 3.
Pensijilan itu melibatkan kursus Asas Pemandu Pelancong Bandar dan kursus Regional Specific Tourist Guide (RSTG) Sabah dan Sarawak pada Tahap 3 SKM.
Ia juga merangkumi kursus Pemandu Pelancong Berkemahiran Alam Semula Jadi Setempat pada Tahap 2 SKM.
“Pengiktirafan ini meletakkan bidang pemandu pelancong dalam ekosistem TVET negara, khususnya dari segi pensijilan dan kebolehpasaran,” katanya.
Beliau menambah ia turut memperkukuh tahap profesionalisme pemandu pelancong negara.
Mengenai isu penguatkuasaan terhadap pemandu tidak berdaftar, Chiew berkata terdapat 47 ILP berdaftar di bawah MOTAC di seluruh negara.
Kementerian sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa termasuk PDRM dalam aktiviti penguatkuasaan bersepadu.
“MOTAC akan terus menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482], khususnya peruntukan berkaitan pelesenan pemandu pelancong,” katanya.
Tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu pelancong tidak berdaftar kerana perbuatan itu boleh menjejaskan keyakinan pelancong serta imej industri.





