Seorang penghantar p-panggilan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan merogol, menyamun secara berkumpulan dan menyamar sebagai anggota polis di Klang.
KLANG: Seorang penghantar p-panggilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan membabitkan rogol, samun berkumpulan dan menyamar sebagai anggota polis.
R. Sathiyaseelan, 32, didakwa merogol seorang kerani wanita berusia 37 tahun sehingga menyebabkan kecederaan di kawasan parkir Jalan Tapah pada kira-kira 2 pagi 18 Januari lepas.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan.
Peguam Nathiya Kamalanathan memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh adalah penanggung tunggal keluarga dan bekerja sebagai penghantar p-panggilan.
Hakim Syarifah Hascindie Syed Omar membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan semua syarat tambahan.
Sathiyaseelan turut berdepan pertuduhan melakukan samun berkumpulan dengan rakannya M. Balaraj, 34, dengan mengambil beg tangan mangsa di lokasi dan waktu sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.
Nor Suhaili memohon kedua-dua tertuduh masing-masing dikenakan jaminan RM20,000 namun Nathiya merayu jumlah itu dikurangkan.
Syarifah Hascindie kemudian menetapkan jumlah jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh beserta syarat tambahan.
Di Mahkamah Majistret, Sathiyaseelan dan Balaraj berdepan pertuduhan menyamar sebagai anggota polis mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Syuhada Rosli menawarkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh.
Majistret A. Karthiyayini membenarkan mereka diikat jamin RM3,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 5 Mac depan.





