Mahkamah Timbang Tara Sukan benarkan tujuh pemain warisan Malaysia beraksi semula sementara menunggu keputusan rayuan muktamad.
KUALA LUMPUR: Tujuh pemain warisan Harimau Malaya dibenarkan beraksi semula sementara menunggu keputusan rayuan muktamad.
Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) meluluskan Penangguhan Pelaksanaan terhadap Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel.
Holgado menyifatkan kebenaran itu sebagai keputusan positif selepas melalui tempoh sukar.
“Apabila anda tidak menjangkakannya, matahari muncul semula dan semuanya baik-baik saja, tiada ribut yang kekal selamanya,” katanya menerusi Instagram.
Palmero pula memberikan reaksi ringkas bahawa mereka sudah kembali.
Sementara itu, Garcés yang digantung daripada bermain dengan kelab La Liga Deportivo Alaves disahkan boleh menyertai semula latihan.
Penyokong bola sepak tempatan memberikan reaksi positif susulan keputusan CAS tersebut.
“Alhamdulillah, manisnya kekal tenang dan percaya dengan rezeki. Selamat kembali beraksi buat tujuh pemain tersebut,” kata Norizan Omar.
Pada September lepas, FIFA mengesahkan FAM dan tujuh pemain warisan negara melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berhubung kesalahan pemalsuan dokumen.
Siasatan mendapati FAM menyerahkan dokumen dipercayai dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan pemain terbabit.
Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta).
Setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) serta digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.
Jawatankuasa Rayuan FIFA pada November lepas menolak rayuan FAM dan kesemua pemain.
Keputusan Jawatankuasa Tatatertib mengenai pelanggaran serius Artikel 22 FDC dikekalkan.
FAM membawa kes itu ke CAS bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.





