Perdana Menteri Anwar Ibrahim ucap terima kasih kepada pasukan keselamatan, penjawat awam dan petugas pembersihan atas kejayaan kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025
SERDANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Beliau berkata semua pihak yang bertugas termasuk pasukan keselamatan, penjawat awam dan petugas pembersihan berusaha bertungkus lumus mengangkat nama baik Malaysia di mata dunia.
“Bermula daripada tukang cuci hingga seni kebudayaan yang dipersembahkan (sepanjang Persidangan ASEAN 2025) begitu mempesona,” katanya.
Anwar turut memuji prestasi luar biasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengendalikan tugas tanpa satu insiden yang mengganggu.
Beliau turut menyebut peranan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan pasukan kawalan swasta.
“Yang saya nak nyatakan adalah, tugas memang berat tapi saya rasa ringan sekali (kerana) bila lihat selesai taklimat 11.30 malam, 12 tengah malam tercegat lagi pasukan keselamatan, pegawai-pegawai dari Kementerian Luar, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” jelasnya.





