Bekas pengurus kanan syarikat multinasional didakwa di mahkamah atas dua pertuduhan terima dan lupus wang lebih RM1.4 juta milik syarikat Indonesia.
IPOH: Seorang bekas pengurus kanan syarikat multinasional mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima dan melupuskan wang lebih RM1.4 juta.
NV Vemal, 36, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan yang didakwa berlaku tiga tahun lalu.
Pertuduhan pertama mendakwa dia secara tidak jujur menerima harta curi berjumlah RM1,479,289.94 ke dalam akaun Maybank miliknya.
Wang tersebut merupakan milik PT Parit Sembada, sebuah anak syarikat Kuala Lumpur Kepong Berhad.
Dia didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum lima tahun penjara, denda atau kedua-duanya.
Pertuduhan kedua mendakwa dia secara tidak jujur melupuskan wang tunai sebanyak RM1,082,005 dengan memindahkannya ke akaun sebuah syarikat.
Dia didakwa di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan dengan hukuman maksimum yang sama.
Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah cawangan Maybank di Jalan Sultan Idris Shah pada 29 September 2023.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulqarnain Wan Asmira menawarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tertuduh menyerahkan pasport.
Peguam tertuduh memaklumkan anak guam mereka kini tidak bekerja dan tiada pendapatan.
Mahkamah membenarkan Vemal diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah memandangkan dia sebelum ini dikesan berada di Indonesia.
Majistret S. Punitha menetapkan 19 Mac ini untuk sebutan semula kes.





