Polis musnahkan bom jenis ‘air-drop’ sepanjang 58cm yang ditemui di ladang sawit Kuala Krai, tiada kerosakan harta atau kehilangan nyawa dilaporkan.
KUALA KRAI: Polis mengesahkan penemuan satu objek besi disyaki bom di kawasan ladang sawit milik syarikat Hidayah Yakin Sdn Bhd di Gua Ikan di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat berkata Balai Polis Dabong menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan objek itu pada 12.28 tengah hari.
Sebuah pasukan polis digerakkan ke lokasi bagi melakukan kawalan keselamatan selepas laporan diterima.
Pasukan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan turut berada di lokasi untuk menjalankan siasatan awal.
Kawasan kejadian ditutup sepenuhnya kepada orang awam bagi tujuan keselamatan.
“Hasil siasatan mendapati objek tersebut merupakan bom jenis Aerial ‘bom-air drop’ dengan panjang kira-kira 58 sentimeter,” kata Mazlan.
Tindakan pemusnahan berjaya dilaksanakan pada 5.56 petang tanpa melibatkan sebarang kerosakan harta benda awam atau kehilangan nyawa.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya menemui sebarang objek menyerupai bahan letupan.
Laporan segera membolehkan tindakan lanjut yang selamat diambil oleh pihak berkuasa.




