Berita

Garis panduan khas lancar untuk kesalahan seksual terhadap kanak-kanak

theSun
24 Oct 2025, 08:49 pm
211 views
Garis panduan khas lancar untuk kesalahan seksual terhadap kanak-kanak
Share:

PUTRAJAYA: Kerajaan dan badan kehakiman melancarkan garis panduan khas yang komprehensif bagi memperkukuh pengendalian kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan garis panduan itu merupakan pendekatan menyeluruh berasaskan keadilan yang peka trauma.

“Ia disemak semua bagi menyesuaikan amalan dengan cabaran semasa, peningkatan kes baharu dan perubahan undang-undang,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran garis panduan khas pengendalian kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2015 di Istana Kehakiman.

Beliau menegaskan usaha itu sejajar dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak yang menegaskan hak setiap kanak-kanak untuk dilindungi daripada penderaan dan eksploitasi.

Azalina memaklumkan kerajaan telah menguatkuasakan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 dan beberapa akta lain pada 3 Mac lepas.

Garis panduan itu menekankan empat komponen utama iaitu pelaporan dan siasatan awal beretika untuk meminimumkan trauma terhadap mangsa.

Komponen kedua melibatkan prosedur mahkamah mesra kanak-kanak termasuk penggunaan rakaman video dan pautan langsung.

Komponen ketiga ialah pelantikan penyokong saksi atau pendamping guaman bagi membantu mangsa.

Komponen keempat merangkumi sokongan psikososial dan pemulihan pasca perbicaraan yang berterusan.

Azalina berkata turut digariskan ialah latihan kepada semua pihak berkaitan iaitu pegawai penyiasat, pendakwa, hakim, pegawai kebajikan dan profesional kesihatan.

Beliau menjelaskan walaupun garis panduan itu belum bersifat mengikat secara undang-undang, ia menjadi asas penting penyelarasan seluruh agensi.

Garis panduan ini membuka ruang untuk pewartaan sebagai prosedur mandatori pada masa hadapan.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim berkata badan kehakiman memandang serius keperluan untuk mewujudkan satu garis panduan komprehensif.

Beliau menekankan setiap kes melibatkan kanak-kanak perlu dikendalikan dengan penuh kepekaan, konsisten dan berkesan.

“Garis panduan itu untuk memastikan proses keadilan tidak sesekali menambah beban atau trauma kepada mangsa, sebaliknya membuka ruang untuk pemulihan dan perlindungan,” katanya.

Beliau menyatakan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak semakin mendapat perhatian dan kebimbangan serius dalam masyarakat.

Statistik menunjukkan peningkatan ketara dalam jumlah kes yang dibawa ke mahkamah melibatkan kes cabul, rogol serta eksploitasi seksual dalam talian.

Pelaksanaan garis panduan itu diharap akan memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap komitmen semua pihak dalam melindungi kanak-kanak.

Sementara itu, Azalina berkata pihak berkuasa sedang memperketatkan pengawasan terhadap ekosistem dompet elektronik untuk mengesan pemindahan mencurigakan.

Beliau mengulas mengenai pendedahan terbaru oleh Ketua Polis Negara berhubung Op Pedo apabila seorang pelajar berusia 17 tahun didapati memperoleh 76,000 ringgit dalam tempoh sembilan bulan.

Remaja itu mengendalikan satu kumpulan telegram yang menjual kandungan diperoleh daripada Tumblr dengan harga sehingga 50 ringgit bagi setiap video.

Beliau menerima bayaran melalui dompet elektronik dan transaksi bank berasaskan pengimbas kod QR.

Azalina menekankan sistem keadilan semasa mempunyai mahkamah dan garis panduan untuk menangani kes sebegini.

Beliau menegaskan pencegahan mesti bermula di rumah sambil menyatakan rasa terkejut dengan penglibatan seorang kanak-kanak dalam aktiviti tersebut. – Bernama

Related Articles