Tempatan

JIM lumpuhkan saki-baki sindiket penyeludupan Iqbal

theSun
22 Jan 2026, 08:08 pm
258 views
JIM lumpuhkan saki-baki sindiket penyeludupan Iqbal
Share:

JIM tahan dua dalang warga Bangladesh dan lima migran dalam operasi di Taman Maluri, melumpuhkan sisa rangkaian sindiket Iqbal yang diserbu di Kelantan.

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melumpuhkan saki-baki rangkaian penyeludupan migran sindiket Iqbal dengan penahanan dua warga Bangladesh.

Kedua-dua lelaki berusia 56 dan 28 tahun itu ditahan dalam operasi di sebuah pangsapuri servis di Taman Maluri pada Selasa lepas.

Mereka dipercayai berperanan sebagai penjaga rumah penampungan dan penghantar migran.

Operasi yang dilaksanakan Bahagian ATIPSOM dan AMLA itu turut menahan lima lelaki warga Bangladesh berusia antara 27 hingga 44 tahun.

Kelima-lima individu itu disyaki sebagai migran yang diseludup masuk.

“Premis itu dikenal pasti sebagai rumah penampungan sementara bagi migran yang baru tiba dari Pantai Timur,” menurut kenyataan JIM di Facebook.

Mereka dipercayai dibawa masuk melalui laluan darat tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand sebelum dihantar ke destinasi lain.

Sebuah kereta Perodua Myvi yang digunakan untuk mengangkut migran turut disita dalam operasi tersebut.

Kesemua tujuh suspek dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Siasatan dijalankan mengikut Akta ATIPSOM 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Sindiket ini adalah sebahagian daripada rangkaian ‘Iqbal’ yang telah ditumpaskan di Kelantan.

Modus operandi utama kumpulan itu adalah membawa masuk migran secara haram melalui laluan darat.

Pada Ahad lepas, JIM menumpaskan sindiket penyeludupan migran ‘Iqbal’ dalam operasi khas di sebuah premis di Kelantan.

Serbuan itu membawa kepada penahanan seorang penjaga rumah penampungan lelaki Myanmar etnik Rohingya berusia 27 tahun.

Seramai 12 warga Bangladesh termasuk seorang wanita turut ditahan dalam operasi di Kelantan.

Related Articles