MOT teliti mewajibkan pemandu berrekod kesalahan atau lesen digantung ikuti kursus pemanduan defensif bagi tingkatkan kemahiran dan keselamatan jalan raya.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti untuk mewajibkan pemandu yang mempunyai rekod kesalahan atau lesen digantung mengikuti kursus pemanduan defensif.
Menteri Anthony Loke berkata kementerian meneliti penambahbaikan kurikulum sedia ada dengan tumpuan terhadap kemahiran sebenar dan teknik mengelak kemalangan.
“Ini satu pendekatan baharu yang kita nak bawa supaya nak wajibkan ataupun nak menggalakkan mereka (pemandu) yang ada kes-kes lesen digantung dan sebagainya,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata MOT dan Kementerian Pendidikan bersetuju melaksanakan intervensi lebih bersasar dalam kalangan pelajar sekolah yang menunggang motosikal.
Program MyLESEN B2 yang menawarkan latihan percuma kepada golongan B40 akan disasarkan kepada pelajar sekolah menengah.
MOT juga akan menyusun semula program pertukaran topi keledar percuma untuk menyasarkan pelajar sekolah yang menunggang motosikal.
Inisiatif Zon Sekolah Selamat turut dilaksanakan dengan menyokong dasar had laju 30 kilometer sejam di kawasan sekolah.
Loke berkata penunggang motosikal mencatatkan 66.4% jumlah mangsa kemalangan maut pada tahun lepas.
Kumpulan umur 16 hingga 30 tahun menjadi mangsa utama kemalangan jalan raya.
Berdasarkan MIROS, faktor utama kemalangan melibatkan motosikal adalah tingkah laku berisiko dan interaksi trafik bercampur.
Faktor lain termasuk kurang kemahiran menunggang secara selamat serta tahap kesedaran keselamatan yang rendah.




