Pemandu Honda Jazz yang terlibat kemalangan maut pelajar UniSZA didakwa mencuri wang dan barangan anggota tentera di stadium Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU: Pemandu Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan maut pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) didakwa sekali lagi di mahkamah hari ini.
Mohd Izuddin Zakaria (gambar), 32, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri wang tunai dan barangan milik seorang anggota tentera.
Dia didakwa mencuri wang tunai RM200, sebuah beg, kad kuasa tentera, kad ATM dan lesen memandu di laluan parkir Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada 5 Jan lepas.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda.
Mahkamah Majistret Noor Mazrinie Mahmood menetapkan 22 Feb untuk sebutan semula kes tersebut.
Pada 12 Jan, Mohd Izuddin telah didakwa dengan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Syakirah Hanan Mazli, 25.
Kemalangan itu berlaku di lampu isyarat Jalan Kemajuan pada 5 Jan.
Mahkamah sebelum ini memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru.





