Jumlah pinjaman skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) catat RM4.9 bilion, dengan kadar tidak berbayar terkawal pada 3.3% setakat 31 Disember 2025.
KUALA LUMPUR: Jumlah pinjaman skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) mencecah RM4.9 bilion setakat 31 Disember 2025.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong (gambar) berkata jumlah itu dijangka kekal pada 0.3% daripada jumlah keseluruhan keberhutangan isi rumah di Malaysia.
Beliau berkata pada 2025, bilangan transaksi BNPL mencecah 243 juta dengan nilai keseluruhan RM21.3 bilion.
Angka itu meningkat dengan ketara, masing-masing sebanyak 66% dan 78% berbanding tahun 2024 iaitu 146 juta transaksi bernilai RM12 bilion.
“Setakat 31 Disember, jumlah BNPL yang tidak berbayar adalah terkawal iaitu RM160.2 juta atau 3.3% daripada jumlah keseluruhan pinjaman BNPL,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat.
Liew menambah angka itu mencerminkan bahawa beban hutang pengguna BNPL adalah terurus.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai langkah menilai rangka kawal selia kemudahan kredit digital termasuk BNPL.
Mengenai transaksi dalam kalangan belia berumur 30 tahun dan ke bawah, Liew berkata golongan tersebut merangkumi kira-kira 40% daripada jumlah keseluruhan transaksi BNPL.
Katanya, secara amnya, skim BNPL digunakan untuk pembelian makanan, barangan runcit, pengangkutan dan perkhidmatan.
Purata pembelian bagi setiap transaksi adalah RM91.
“Kajian oleh Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOBTF) menunjukkan lebih 70% daripada keseluruhan pengguna aktif BNPL adalah terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah (B40),” katanya.





