Tempatan

Saksi terima nombor syarikat pelancongan daripada Azlan Man

theSun
21 Jan 2026, 05:44 pm
266 views
Saksi terima nombor syarikat pelancongan daripada Azlan Man
Share:

Bekas setiausaha sulit Azlan Man mengesahkan menerima nombor telefon syarikat pelancongan daripada bekas menteri besar Perlis itu untuk urusan lawatan luar negara.

KUALA LUMPUR: Saksi pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa beliau menerima maklumat mengenai syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd daripada Datuk Seri Azlan Man.

Bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Azlan, Herwadey Hashim, 45, berkata Azlan memberinya nombor telefon pemilik syarikat terbabit, Shafie Ismail, untuk urusan lawatan Azlan ke luar negara.

“Pada mulanya saya difahamkan Encik Shafie adalah pemilik syarikat Sri Kedawang, tetapi kemudiannya saya dapat maklumat, beliau (Shafie) adalah pegawai di agensi tersebut,” katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat.

Herwadey sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Azlan mencadangkan SKTT kerana perkhidmatan syarikat itu amat baik.

Saksi pendakwaan ke-18 itu berkata amalan permohonan percutian seberang laut Menteri Besar dibuat secara bertulis daripada Pejabat Menteri Besar Perlis.

Beliau bersetuju dengan peguam bahawa beliau yang menguruskan tuntutan percutian seberang laut Azlan dari 2013 hingga 2017.

Herwadey juga bersetuju tindakan beliau menguruskan percutian itu adalah sah dan tidak menyalahi undang-undang.

Azlan, 67, didakwa atas lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti ke luar negara berjumlah lebih RM1.18 juta.

Tuntutan itu melibatkan sebut harga tiket penerbangan ke London serta invois daripada syarikat pelancongan Sri Kedawang dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Beliau juga berdepan lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 2014 dan 2017.

Selain itu, beliau didakwa atas lima pertuduhan pilihan kerana menyalahgunakan wang RM1.06 juta milik Kerajaan Negeri Perlis.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung pada 31 Mac ini.

Related Articles