Projek stesen janakuasa Rancha 120MW dijangka selesaikan gangguan elektrik Labuan, perkukuh bekalan dan tarik lebih pelaburan menjelang 2028.
LABUAN: Projek stesen janakuasa Rancha yang bakal dibina di sini dijangka mengukuhkan jaminan bekalan kuasa Labuan.
Ia diharap dapat menyelesaikan isu gangguan elektrik berlarutan dan meningkatkan daya tarikan pulau itu sebagai destinasi pelaburan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar) berkata projek janakuasa berkapasiti 120 megawatt itu mencerminkan komitmen teguh Kerajaan Persekutuan.
“Projek ini bukan sekadar simbolik permulaan pembangunan janakuasa, tetapi juga manifestasi komitmen kerajaan untuk menyediakan bekalan elektrik yang stabil, cekap dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah projek Janakuasa Rancha di Zon Perindustrian Rancha-Rancha.
Rancha Power Sdn Bhd merupakan usaha sama strategik antara PG Energia Sdn Bhd, SEC Power Sdn Bhd dan Sustainable Power Sdn Bhd.
Pembinaan dijadualkan bermula pada Februari tahun ini, dengan operasi komersial disasarkan bermula 1 Januari 2028.
Fadillah menegaskan bekalan kuasa yang mencukupi dan cekap merupakan prasyarat penting bagi Labuan.
“Tanpa bekalan kuasa yang stabil dan terjamin, agenda ekonomi tidak dapat direalisasikan secara mampan. Projek ini akan memberi jaminan kepada pelabur,” katanya.
Beliau berkata stesen janakuasa baharu itu akan memperkukuh kapasiti operasi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Stesen janakuasa Rancha merupakan sebahagian daripada strategi peralihan tenaga kerajaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR).
Fadillah berkata sumber tenaga konvensional yang lebih bersih dan cekap seperti gas asli terus memainkan peranan penting.
“Stesen Janakuasa Rancha harus dilihat sebagai infrastruktur peralihan kritikal yang memastikan kebolehpercayaan sistem,” katanya.
Usaha mengukuhkan infrastruktur tenaga Labuan itu juga sejajar dengan agenda tenaga serantau Malaysia.
Ini termasuk inisiatif Grid Kuasa ASEAN yang bertujuan meningkatkan perdagangan elektrik rentas sempadan.
“Dengan lokasi strategiknya, Labuan berpotensi memainkan peranan penting sebagai nod tenaga dan logistik dalam ekosistem tenaga serantau,” katanya.
Fadillah berkata kementeriannya akan memastikan semua projek tenaga dilaksanakan secara berstruktur dan berfasa.
Beliau yakin projek janakuasa itu akan menjadi pemangkin untuk memperkukuh sistem tenaga Labuan.




