Tempatan

Warga emas gelandangan maut akibat dipukul di Butterworth

theSun
27 Jan 2026, 10:55 am
266 views
Share:

Seorang lelaki warga emas gelandangan maut di hospital selepas dipukul di Medan Selera Kampung Jawa, Butterworth. Polis tahan seorang suspek.

BUTTERWORTH: Seorang lelaki warga emas yang juga gelandangan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) hari ini.

Kematiannya berpunca daripada kecederaan akibat dipukul di Medan Selera di Kampung Jawa semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Anuar Abdul Rahman berkata pihaknya menerima panggilan daripada petugas HSJ mengenai kematian lelaki tanpa pengenalan diri berusia lingkungan 60-an itu.

“Siasatan awal mendapati mangsa adalah gelandangan dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa dihantar ke HSJ oleh ambulans pada 2.47 pagi semalam dan kemudian menerima rawatan di wad sebelum disahkan meninggal dunia.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan penyakit jantung koronori.

Mangsa juga mengalami patah tulang rusuk di bahagian sebelah kiri badan.

Polis telah menahan seorang lelaki dipercayai suspek dalam kejadian itu.

Ujian air kencing suspek mendapati positif dadah.

Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan kecederaan parah.

Anuar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan kes ASP Hasryman Osman.

Mereka boleh menelefon talian 04576 2222 (samb: 2275) atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Related Articles